Wednesday, August 13, 2014

Sambungan Cerpen Air Mata Syawal



         Aku duduk di sebuah bangku batu yang berada di tepi tasik. Pandanganku dilempar jauh ke arah tasik yang tenang petang itu.  Sesekali kelihatan pengunjung yang melalui susur pejalan kaki di tepi tasik. Jam di tangan kiri sempat aku kerling. Jarum jam sudah menunjukkan jam 5.00 petang.  Sementara menanti kedatangannya, telefon bimbit di tangan sudah beberapa kali ditekan.  Namun tiada sebarang kiriman pesanan ringkas mahupun panggilan yang masuk.  Aku mengeluh perlahan.
“Yatt...”  Aku segera berpaling sebaik sahaja mendengar seseorang memanggil namaku. 
“Ingatkan kau tak datang?”  soalku dan Zalila pun mengambil tempat bersebelahan denganku.
“Ada apa yang sampai kau nak jumpa aku dekat sini?”  Tanpa menjawab soalanku tadi Zalila pula yang mengajukan soalan padaku.  Pandangannya turut dilemparkan ke arah tasik sejak sampai tadi.  Aku mendengus perlahan tapi dengusan itu masih lagi boleh didengar.
“Tunggu suami aku datang sebab aku perlukan penjelasan daripada kau dan suami aku.”  Aku tahu wajah Zalila diterpa hairan atau dibuat-buat hairan kerana sesungguhnya dia tentu sudah menduga apabila aku menyebut perkataan ‘kau dan suami aku’ itu.
“Assalamualaikum...”  Salam suci kesejahteraan kedengaran daripada suara garau seseorang yang cukup aku kenali.  Salam itu serentak dijawab oleh aku dan Zalila.
“Yatt, kenapa nak jumpa abang? Tak boleh bercakap dekat rumah ke?”  Soal suamiku yang sudah berdiri berhadapan dengan aku dan Zalila.
“Yatt tak nak kita bercakap di rumah sebab tak mahu anak-anak dengar.”
“Kenapa ni Yatt? Sebab hal apa ni Yatt?” Tanya suamiku lagi yang aku nampak sedang berpura-pura menutup perbuatannya.
“Abang, jangan nak bohong Yatt. Yatt dah tahu semuanya. Selama ini Yatt pekakkan telinga bila dengar orang cakap pasal abang dan Lak. Tapi sekarang semuanya sudah terbuki.”  Jawabku perlahan.
“Apa yang Yatt cakapkan? Abang tak ada apa-apa hubungan dengan Lak.”  Sangkal suami bersungguh-sungguh.  Telefon bimbitku hulurkan pada lelaki itu. 
Dua hari lepas, Allah telah gerakkan hatiku untuk melihat telefon bimbit suamiku. Aku terbaca pesanan ringkas antara suamiku dan Lak yang bersayang bagai bunyinya. Sebelum ini, aku tidak pernah terfikir langsung mahu memeriksa telefon bimbit lelaki itu. Perasaan curiga pada lelaki itu jauh sekali tetapi hari itu hatiku berkecai bagaikan kaca yang terhempas ke lantai. Remuk-redam. Ianya bagaikan merentap nyawaku. Lelaki itu terpaku saat melihat skrin di telefon bimbitku.
“Lak, kenapa kau buat aku macam ni? Kau tahu kan dia tu suami aku? Sanggup kau musnahkan kebahagiaan rumahtangga kawan baik kau sendiri?”  Soalku pada Zalila yang aku panggil Lak. Aku sudah tidak dapat mengawal perasaan marah yang sedang membelenggu dalam diri sebaik sahaja aku dapat menghidu perhubungan sulit antara suami dan sahabat baikku sendiri. 
Terasa kesabaran dan keimananku sudah semakin menipis. Senipis-nipis kulit bawang. Aku sudah tidak dapat mengawal perasaan. Emosiku diganggu pelbagai rasa. Terasa diri seperti tidak dihargai apabila ditipu bulat-bulat. Air mataku semakin menderas membasahi pipi.Tidak dapat ditahan-tahan lagi. Aku pandang lelaki itu yang masih lagi matanya tertancap pada skrin telefon bimbitku. Masing-masing berdolak-dalik selama ini. Aku ditipu dengan lakonan mereka berdua selama ini. Sejauh mana pembohongan akan berterusan. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh juga. Telefon bimbitku sudah bertukar tangan.  Kali ini Lak pula yang melihatnya.
“Kenapa you tak padam mesej dengan gambar I?” Aju Lak pada suamiku sebaik sahaja melihat telefon bimbitku. 
“Abang, tak ada apa-apa hubungan dengan Lak. Percayalah!” Kata suamiku tanpa menjawab soalan Lak.  Bahuku cuba dipegang namun sempat aku menepis tangannya.
“Abang jangan cuba menidakkan benda yang sudah terbukti depan mata.” Balasku dengan suara teresak-esak.
“Yatt, aku dengan suami kau cuma berkawan.  Kenapa kau nak lebih-lebih emosi ni Yatt?”  Kata Lak yang selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Kau kata kawan?Hantar gambar kau pada suami orang, mesej sayang itu ke kau panggil kawan?Istilah apa yang kau guna Lak?
“Pasal gambar tu...Aku sebenarnya salah hantar. Sebenarnya aku nak hantar gambar tu pada suami aku tapi aku terhantar pada suami kau. Itu je. Tak ada apa masalah pun Yatt.” Padaku, apa yang disampaikan Lak cukup tidak masuk dek akal.
“Kau nak hantar gambar pada suami kau. Macam tak logiklah Lak. Takkan kau tak boleh tengok nama suami kau dengan aku?Aku tahu kau ada motif lain di sebalik itu.”
“Yatt, sudahlah.  Abang tak ada apa-apa dengan Lak. Lagipun Lak cuma meluahkan masalahnya pada abang tentang suami dia. Yatt pun tahu suami dia tak bekerja?Suami dia selalu tak ada di rumah.  Suka berpeleseran. Lak tak ada kawan untuk dia meluahkan kekosongan hatinya. Apa salahnya abang jadi pendengar untuk dia.  Abang kasihankan pada dia.”
"Abang kata Lak tak ada kawan untuk bercerita?Habis Yatt ni bukan kawannya?Tak boleh ke dia bercerita pada Yatt?Kenapa mesti dia ceritakan masalahnya pada abang?" Soalku bertalu-talu. Masing-masing terdiam.
“Abang, kenapa abang buat Yatt begini?Apa salah Yatt? Abang tahu kan Lak kawan baik Yatt?”Soalku lagi.
“Yatt tak ada salah apa-apa pada abang. Apa pun terjadi kasih sayang abang pada Yatt dan anak-anak tetap sama. Tak pernah berubah sekali pun.”  Balas lelaki itu dengan nada bersahaja.
“Sudahlah, bang. Semuanya sudah jelas terbukti. Yatt sudah ada buktinya. Selama ni Yatt dengar sahaja apa yang kawan-kawan abang sampaikan pada Yatt.”  Tangkasku tegas.
“Jangan percaya cakap orang. Mereka fitnah abang sebab cemburu tengok abang hidup bahagia dengan Yatt.” Aku sekadar tersenyum sinis mendengar bicara lelaki itu. Apa yang diperkatakan lelaki itu sedikit pun tidak menyentuh hatiku ini. Suamiku sekadar mahu menutup segala perbuatannya selama ini.
“Kenapa orang nak fitnah abang pula? Bukti yang Yatt ada bukan orang lain yang sampaikan pada Yatt.  Itu daripada abang sendiri.  Mesej sayang dengan Lak pun abang masih nak berdolak-dalih lagi dengan Yatt?”
“Yatt, kau ni tak habis-habis nak dengar cakap orang kan?Suami aku pernah curang dengan aku bukan sekali dua tapi aku tak pernah pun nak dengar cakap orang. Nak tanya orang sana sini. Jangan jadi seperti orang tak matang, Yatt. Kalau kau bersikap sebegini kau merosakkan suami kau sendiri.”  Sampuk Lak pula.
“Kau jangan nak samakan aku dengan kau, Lak. Sebab suami kau pernah curang dengan kau, itu sebab kau pun nak curang dengan suami kau pula. Perempuan jenis apa kau ni?Matang sangat ke kau dengan berkelakuan sebegini?Kenapa pula aku yang merosakkan suamiku pula. Aku tak buat apa-apa!”  Herdikku pada Lak.  Biarlah dia mahu terasa hati sekalipun aku sudah tidak kisah.
“Cara kau buat macam ni bukan buat suami kau rapat dengan kau lagi, Yatt. Kau dah buat satu jurang yang besar antara kau dengan suami kau.”  Tempelak Lak padaku.
“Kenapa aku pula yang kau cuba persalahkan?”  Soalku pada Lak.
"Kau suka dengar cakap orang, Yatt. Kau tanya-tanya kawan-kawan kita pasal aku dan suami kau. Kau rasa perbuatan kau tak memalukan suami kau?Sepatutnya kau sebagai seorang isteri patut menjaga maruah suami kau." Kata Lak panjang lebar tanpa ada secebis perasaan bersalah dalam dirinya. Dia cuba mencari salah aku.
"Perbuatan aku memalukan?Perbuatan kau pula tidak memalukan ke Lak?Ada suami tapi berhubung dengan lelaki lain?Dengan suami kawan baik kau sendiri!" Suaraku sudah agak meninggi.
“Kalau aku tahu apa-apa jadi pada suami kau, aku tidak akan duduk diam.  Orang yang cuba nak apa-apakan suami kau akan dapat susah.” Ugut Lak tegas. Aku keliru. Lelaki yang sedang dipertahankannya itu adalah suamiku. Kenapa dia pula yang melebih-lebih. Aku semakin keliru dengan tindak-tanduk Lak. Hilang akal ke apa?Malas mahu bertegang urat dengan orang yang tidak mahu mengaku akan kesilapannya. 
  “Abang tahu tak Zalila tu masih lagi isteri orang?Abang tahu ke tidak?Abang tahu tak batas-batas agama?Apa hukumnya menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang?” Aku lempiaskan semua yang terbuku di dalam hati pada lelaki itu.  Aku cukup kecewa dengan lelaki itu.
“Abang minta maaf Yatt. Abang tahu abang bersalah dalam hal ini.” Perlahan sahaja bicara lelaki itu.  Aku mendengus kuat.  Geram.
Segalanya bermula apabila Zalila selalu menjadikan suamiku tempat dia meluah rasa. Dia sering mencari suamiku saat dia mempunyai masalah dengan suaminya. Aku juga tahu Zalila ada berhubung dengan suamiku namun aku tidak sangka bahawa hubungan mereka ke tahap serius sehingga menimbulkan rasa sayang pada mereka.
“Lak, kau pun tahu status kau sebagai seorang isteri. Kau tak rasa berdosa ke pada suami kau?Aku tak sangka sebegini perangai kau, Lak!” 
Zalila hanya tersenyum sinis. “Aku dan suami aku akan bercerai tidak lama lagi. Jadi tak salah kalau aku berhubung dengan suami kau. Malah dengan sesiapa sahaja aku bebas untuk berkawan.”  Kata-kata Zalila membuatkan darahku membuak-buak hingga ke kepala. 
“Untuk pengetahuan kau, aku selesa berkawan dengan suami kau. Aku sangat-sangat selesa bila aku bersama dengannya. Tak semestinya aku dan suami kau rapat kita orang akan berkahwin.”  Berpinar-pinar rasanya pandanganku saat mendengar pengakuan jujur daripada Zalila.  Apa benarkah ini kawan baikku? Perangainya membuatkan aku seakan tidak mempercayai.
“Atau kau sebenarnya cemburu tengok kemesraan antara aku dengan suami kau?”  sambung Lak lagi seraya tergelak kuat. Hampir sahaja tangan kananku mahu menghinggap ke pipi Lak namun sempat ditahan suamiku. Nafas di dadaku berombak kencang. Kesabaranku seperti diragut-ragut ketika ini.
"Yatt, kalau abang mahu berkahwin pun abang mampu. Abang lelaki. Lelaki boleh berkahwin empat!" 
“Sekarang abang beritahu pada Yatt.  Abang pilih Yatt atau Zalila?”  Lelaki itu tidak menjawab.  Pandangannya ditundukkan.  Aku menanti apa sahaja yang terkeluar daripada mulutnya.
“Abang masih sayangkan Yatt. Abang sayangkan anak-anak. Kasih sayang abang tidak pernah berubah, Yatt.”
“Jangan abang ucapkan sayang lagi pada Yatt. Sayang abang pada Yatt sudah berbeza sebab abang sudah mula sayang pada Zalila.”  Lelaki itu sekadar membisu.  Aku kesat air mata yang bersisa di pipi.  Buat apa aku mahu menangisi seseorang yang sudah beralih kasih. 
“Abang pilihlah antara Yatt dengan perempuan itu. Mana yang baik pada abang. Cuma satu sahaja yang Yatt nak beritahu pada abang.  Yatt tak rela untuk berkongsi.  Kalau abang tak pilih Yatt sekalipun Yatt reda. Ada hikmah atas apa yang terjadi pada Yatt. Seandainya abang mahu menikahi dia, lepaskan Yatt dan anak-anak biar Yatt yang jaga.” Itu sahaja yang mampu aku lafazkan kerana saat ini hatiku sangat terluka dan kecewa.

*****

“Yatt...”  Aku tersentak saat bahuku dirangkul kemas dari belakang.  Lamunanku hilang serta-merta.  Tanpa sedar air mata sudah berjujuran membasahi pipi.
“Yatt, kenapa Yatt diam dari tadi?  Zalila cakap dengan Yatt tu,”  beritahu suamiku yang sudah berdiri di sebelahku.  Aku menarik nafas dalam-dalam dan dihela perlahan.
“Yatt, sekali lagi aku mohon pada kau. Aku datang ke sini untuk memohon ampun pada kau.  Aku berdosa pada kau. Aku dah banyak menganiaya kau. Sebenarnya aku cemburu sebab kau hidup bahagia. Kau ada suami yang penyayang sedangkan aku waktu itu suamiku tidak pernah endah tentang aku. Aku cari jalan untuk memporak-perandakan rumahtangga kau. Aku cuba dekatkan diri dengan suami kau.”  Bicara Zalila perlahan sambil tersedu-sedu menhan tangisnya yang masih bersisa. 
“Yatt, sudahlah. Maafkanlah dia. Dia datang nak minta maaf pada Yatt. Yatt sendiri beritahu abang setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan.” Kata-kata suamiku membuatkan aku tersedar.  Macam mana marah pun aku pada Zalila, siapalah aku untuk tidak memberi kemaafan padanya.
“Mana suami kau, Lak? Macam mana kau boleh jadi macam ni?”  Soalku ingin tahu.
“Dia dah tinggalkan aku. Aku kemalangan semasa aku cuba mengejar suami kau malam tu sebab dia ternampak aku dengan lelaki lain. Aku memang curang. Tak pernah setia dengan suami aku.”  Beritahu Zalila lemah.
“Itulah sebabnya abang kembali pada Yatt. Masa tu baru abang tahu siapa Zalila yang sebenarnya. Abang buta hati, Yatt. Allah tunjukkan pada abang kebenarannya supaya abang tidak tersasar lebih jauh,”  sampuk suamiku pula. Aku hanya termangu mendengar satu-persatu penjelasan.  Kisah yang sudah bertahun-tahun aku cuba lupakan tetapi pada hari ini baru kisahnya dapat diketahui secara umum.
Aunty, maafkanlah ibu saya. Ibu sudah banyak berubah. Dia sudah bertaubat. Lagipun ibu tidak akan hidup lama kerana doktor telah mengesahkan yang ibu menghidap kanser rahim peringkat empat. Maafkanlah ibu sebelum ibu pejam mata, aunty.”
Air mataku mengalir lagi. Semakin menderas. Mendengar bicara anak gadis Zalila membuatkan aku bertambah sedih. Pilu. Aku terus mendapatkan Zalila dan aku peluk dia erat. Seerat-eratnya.  Pelukan yang sudah lama ditinggalkan.  Aku menangis sepuas-puasnya.
“Aku sudah dapat balasan daripada perbuatan jahatku, Yatt. Allah dah berikan aku balasan atas perbuatan aku menganiaya kawan baikku sendiri.” Tutur bicaranya menambahkan runtun di hatiku.  Aku tidak membalas kata-katanya. Hanya tangisan sahaja yang kedengaran. Begitu juga dengan Zalila terhinggut-hinggut bahunya menahan tangisnya yang masih bersisa.
“Aku maafkan kau, Zalila.” Itu sahaja yang mampu aku ucapkan buatnya. Sesungguhnya kemaafaan itu sebuah dendam yang terindah dan lebih bermakna. Syawal kali ini lebih bererti kerana menemukan aku dengan insan yang pernah menjadi sahabat baikku suatu ketika dahulu.

TAMAT

Nota : Jika ada yang terkurang pada cerpen ini harap dimaafkan. Saya hanya menulis berdasarkan apa yang terlintas.

5 comments:

  1. terbaik la kak..bole buat koleksi dah ni..huhu..nanti dah byk boleh buat buku lak.. :)

    ReplyDelete
  2. Huuuh...! lega kakak dapat habiskan. Nasi dah tamat hihi..
    Pengajaran buat kita sebagai isteri:-
    1. Setia pada suami
    2. Jgn cemburu dgn kebahagiaan org lain
    3. Balasan Allah tak semestinya di akhirat
    4. Sabar pasti ada hikmahnya
    5. Hidup ada pahit dan manis
    6. Banyak lagilah... sendirilah kupas hihi...

    ReplyDelete
  3. sedih uolls boleh membayangkan sekali sobsob hehe

    ReplyDelete
  4. alhamdulillah.. sedih pilu bl bf amik kesempatan n ada affair dgn husband kita.. *hehe ckp mcm da tawin je kan... kepidup beb chaiyokkkk

    ReplyDelete