Wednesday, November 12, 2014

Di Sebalik Pertemuan


Setahun yang lalu, aku pernah ke sini untuk bertemu sang arjuna yang telah terpisah untuk beberapa ketika. Terpisah atas tuntutan kerja. Terpisah jauh ke seberang dan dipisahkan oleh lautan China Selatan. Akur, walaupun dalam hati timbul pelbagai rasa.

Setiap hari kalendar menjadi tatapan. Menghitung hari untuk sampai pada hari penghabisan. Lapan puluh dua hari bukanlah masa yang singkat. Hanya telefon penghubungnya untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu yang mendalam.

Menjejakkan kaki ke sini bersama anak-anak dengan satu hasrat setelah sekian lama memendam rindu yang mencengkam jiwa. Di sini menyaksikan sebuah pertemuan. Sebuah keluarga. Menyusuri pesisiran pantai ini sambil menyaksikan anak-anak berlari-larian riang. Sesekali kedengaran gelak tawa mereka terpacul.

Riak wajah mereka ceria seolah-olah baru sahaja meloloskan diri daripada bebanan berat. Hasrat mereka sudah tercapai tatkala menatap wajah insan yang sekian lama tidak ketemu. Masing-masing melepaskan rindu. Aku tersenyum melihat mereka gembira. 

Namun itu semua tinggal kenangan. Sebuah kenangan yang akan aku abadikan dalam diri buat selamanya. Di sebalik pertemuan itu terselit sebuah cerita. Sebuah pertemuan yang ada kisahnya sendiri.

Cetusan Ilham,
Fyda Adim
 


1 comment: