Thursday, December 24, 2015

Misi 14 Hari

Assalamualaikum dan Salam Maulidur Rasul. Bismillah...

Sudah agak lama membiarkan blog ini bersawang. Sibuk menulis di blog satu lagi. Itu yang nampak seperti blog ini dianaktirikan. Saya sedang sibuk menyiapkan sesuatu tugasan. Semoga dipermudahkan. Kononnya misi dalam empat belas hari. Mustahil sangat rasanya namun apa pun kita cuba setakat yang termampu di bawah bimbingan seorang guru.

Di sini saya letakkan sedikit sedutannya sebagai permulaannya dan pembakar semangat buat diri ini. Kata guru saya "Bangun, bakar diri, semangat harus terus MENYALA-NYALA."


        Deringan telefon bimbit sayup-sayup kedengaran. Panjang bunyinya dan akhirnya berhenti. Aku terpisat-pisat di sofa empuk seraya menggeliatkan badan. Sempat mataku  menjeling pada televisyen yang masih lagi terpasang. Tertidur rupa-rupanya aku. Hai, badan kalau dah letih, sudah tak kenal mana sofa mana tilam. Semenjak dua menjak ini, kerja di pejabat melimpah ruah sehinggakan aku tidak cukup kaki dan tangan. Kadang mahu melepaskan hajat kecil pun terpaksa ditunda-tundakan. Hujung tahun semua mahu dikejarkan.
Sekali lagi telefon bimbitku berbunyi nyaring memainkan lagu Sedang Ingin Bercinta mematikan khayalan. Spontan mataku singgah pada jam dinding. Jarum jam menunjukkan lagi lima belas minit mahu ke angka tujuh. Aku segera membetulkan duduk dan cuba membuka mata seluas mungkin. Dengan segera aku meraba-raba ke dalam beg tangan di atas meja kopi. Sekilas aku memandang skrin. Argh! Nama itu lagi!
Kedengaran suara lelaki itu di hujung sana. Hampir dua minggu aku tidak mendengar suara garaunya. Aku rindukan lelaki chipsmore itu. Aku membalas salamnya. Aku capai remote control televisyen yang kebetulan ada di atas sofa untuk memperlahankan suara pada televisyen lalu menyandarkan tubuh sambil menaikkan kaki ke atas sofa agar lebih selesa dan nyaman.
“Lea...” Kata-katanya terhenti. Seperti hendak menyatakan sesuatu. Namun lidahnya bagai ditahan.
“Kalau awak nak tanya kesihatan saya, saya sihat. Kalau awak nak tanya perkhabaran saya, saya khabar baik.” Aku jawab. Ada curiga yang mampir mendengar bicara teragak-agaknya itu.

Sekian dulu bersambung lagi.

Salam pena,
Fyda Adim


No comments:

Post a Comment