Wednesday, September 14, 2016

Hey, Kau! - Bab 1

sumber : google

BAB 1

            Ruang restoran kedai mamak tengahari itu agak bingit. Ditambah dengan suara baiya-baiya terpekik-pekik mengambil pesanan. Sekarang waktu makan. Waktu perut lapar itu yang membuatkan ramai manusia memenuhi restoran. Masing-masing dengan agenda sendiri. Begitu juga aku. Seperti yang dijanjikan malam tadi menerusi telefon, aku ke sini untuk berjumpa dengannya.
“Lea sayang, boleh tak kalau nak pinjam duit?” kata-katanya hinggap di gegendang telingaku. Bila bab duit rasa mahu menanah aje telinga aku. Dia ingat aku ni Bank Negara ke? Dia ingat aku ni cap duit agaknya? Suka-suka hati aje jadikan aku banker dia kan.
Air minuman yang aku sedut hilang terus manisnya sebaik aku mendengar butir bicara yang terpacul keluar dari bibirnya.
“Duit?” Soal aku menjengkilkan mata sambil memandang sepasang mata coklatnya.
“Handphone rosak, nanti susahlah nak call Lea.” Sambungnya lagi.
“Selama ni Lea yang banyak call kut.” Protesku tidak puas hati. Dia terkedu.
Ah, selama handphone tak rosak pun bukan selalu pun dia call aku. Boleh dikira dengan jarilah. Aku yang kerap telefon dia.
            “Duit yang dulu pun belum bayar lagi? Ini nak pinjam lagi? Ingat Lea ni banyak duit ke?” Spontan. Lantas, keluhan aku lepaskan.
            “Tolonglah...kali ni aje. Nanti bila ada duit...”
            “Baru nak bayar?” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya aku terlebih dahulu mencelah.
“Nanti bila ada duit, baru bayar? Hari tu pun janji macam ni jugak tapi tak nampak pun bayang-bayang duit Lea. Ini nak berjanji lagi dengan Lea? Apa ni?” tempelakku.
Memang menyirap. Tempoh hari beria menabur janji-janji manis, dalam tempoh tiga bulan mahu dibayar hutangnya. Sekarang dah upgrade setengah tahun. Janji tinggal janji.
            “Tolonglah Lea, saya terdesak sangat ni. Takkanlah awak tak percayakan saya. Kalau Lea tak tolong siapa yang nak tolong.” Aku jatuh serba salah. Aku cukup tak suka kalau dia cuba merayu bagai begini.
            Air muka seposen, muka kesian membuatkan aku betul-betul kesian. Ish, serba-salah aku dibuatnya. Bencinya kalau dihantui perasaan begini!
            Kenapalah aku boleh berkawan dengan manusia yang sedang duduk di hadapanku ini. Sama ada dia jujur atau pun tidak, aku kurang pasti. Buntu dibuatnya.
            “Macam mana Lea?” soalnya mematikan lamunanku. Aku mengeluh lagi. Tidak dibagi, rasa kesian membelenggu diri. Kalau dibagi pula, rasa sengsara memakan diri. Aduh!
            “Berapa yang nak pinjam ni?” Entah kenapa itu yang aku tanya pada dia. Walhal aku cukup marah dengan apa yang dia lakukan pada aku sekarang. Sama ada dia dah jampi-jampi aku atau sifat tolong menolong cukup menebal dalam diri aku.
            “Seribu...”jawabnya tanpa segan silu.
            Aku cuma membesarkan mata. Nasib tak terbelahak air minuman yang baru aku sedut. Aku sekadar berdehem.
            “Kenapa banyak sangat ni?” soalku tidak puas hati. “Cari handphone murah-murah dahlah.”
            “Saya bukan tak nak beli yang murah. Tapi awak fahamlah. Job saya memang related dengan online. Kalau tak ada smartphone, macam mana?” Jawabnya tanpa rasa serba-salah. Wah, ini pinjaman sekali pakej duit belanja. Memang terbaik peminjam aku ni.
            “Lea tak adalah duit banyak tu.” Aku cuba berdalih.
            “Tolonglah Lea, kali ni aje. Janji! Bila dapat aje duit daripada Abang Eddy...” Belum sempat dia habiskan kata-katanya aku mencelah lagi.
            “Berapa kali dah janji. Dulu pun masa nak pinjam macam ni jugak.” Balasku. Memang aku tak nak beri dia peluang untuk bercakap.
            “Lea nak tolong ke tak ni?”soalnya dalam nada agak keras.
            “Kali ni je Lea tolong.” Jawabku tegas. Aku sedut air minumanku lantas bangun menuju ke kaunter. Aku tinggalkan dia yang masih berada di meja. Pandai-pandai dialah nak bangun sekali atau pun tidak.
            Sebaik sahaja mamak mengira, aku hulurkan not RM50 pada mamak itu. Semuanya RM25 untuk dua orang. Kalau nak tunggu dia yang bayar, jangan haraplah. Sesuatu yang mustahil! Selesai mengambil baki wang yang dipulangkan, aku mengatur langkah keluar.
            “Terima kasih, Lea.” Alih-alih aku dengar suara dia yang sudah tercengat di belakangku. Aku menoleh dan membalas ucapan kasihnya.
            “Jomlah ke sana.” Aku tunjuk ke seberang jalan. Dia sekadar mengangguk tanda faham apa yang aku sampaikan. Kami berdua beriringan melintasi jalan.
            Aku keluar dari bank. Dia sedang menyandar pada dinding. Aku hulurkan duit padanya.
            “Terima kasih Lea. Lea banyak menolong. Saya sayang sangat kat awak.” Katanya sambil mencium-cium duit di tangannya. Aku hanya mampu melemparkan pandangan kosong.
            Setelah duit bertukar tangan, dia pun meminta diri. Aku sekadar menggangguk. Aku pandang sahaja dia berlalu hingga kelibatnya hilang dari pandangan mata.


Aku melangkah longlai ke pejabat. Mahu tak longlai. Duit dah terbang seribu. Duit simpanan setiap bulan dari gaji aku. Alih-alih lenyap. Entah dapat balik atau pun tidak. Kalau dia tak bayar tu kira sedekahlah. Ish, sedekah kena ikhlas. Aku belum tahap ikhlas kut. Nak sedekah biarlah pada golongan yang memerlukan.
“Kau pergi mana Lea? Aku ingat tadi nak ajak kau lunch kat Restoran Bonda tu.” Sapa Wahida sebaik sahaja aku menyandar di tempat duduk. Entah dari mana dia muncul. Tiba-tiba sudah terpacak di meja aku.
            “Jumpa kawan.” Balasku pendek. Kalau makcik ni tahu apa yang aku buat tadi, mesti dah berjela-jela dia bebelkan aku.
            “Kawan? Sape kawan kau?” Soal Wahida mengalahkan pegawai penyiasat.
            “Alah...kawanlah. Takkan semua kawan aku kau kenalkan?” Jawabku selamba. Kalau aku ceritakan hal yang sebenar mesti aku yang ditembaknya.
            “Wah, aku rasa kawan kau, kawan aku jugak. Sejak bila pula yang kawan kau aku tak kenal ni?” Kerut-kerut dahi Wahida. Macam memikirkan masalah negara si Wahida ni. “ Atau...” Kata-lata terhenti di situ.
            “Atau apa?” Bentakku. Orang dahlah tengah berserabut. Tadi baru berhadapan dengan manusia yang menghuru-harakan hidup aku, ini si Wahida macam-macam pula.
            “Kau pergi jumpa dia kan?” Tebak Wahida sambil jarinya menuding ke arahku. Hampir mengena ke hidungku. Matanya yang bulat dikecilkan. Aku cuba melarikan memandang tepat ke sepasang mata Wahida.
            “Hah, itu kau lari-lari tak nak pandang aku kenapa? Mesti kau ada sorokkan sesuatu daripada aku kan, Lea.”
            “Mana ada. Pandai-pandai aje kau tu” Jawabku selamba seraya tersengih.
            “Aku bukan baru kenal kau sehari dua, Lea. Dari zaman kita belajar makan roti potong kongsi berdua tau.” Wahida sudah mula menyusun butir bicaranya dengan membuka kitab sejarah zaman remajanya. Aduh, sudah basi.
            “Dahlah, kau ni tak habis-habis cerita dulu-dulu. Malas nak dengar. Aku nak solat.” Bingkas aku bangun lalu meninggalkan Wahida terkontang-kanting di situ. Aku mengatur langkah tanpa berpaling lagi. Biarlah Wahida dengan sejarah zaman remajanya yang entah bab berapa. Aku tak berminat! Janji aku tidak disoal siasat.


No comments:

Post a Comment